Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

Monday, August 10, 2009

Adat-Adat

Adat Menjadi Ahli

"Barangsiapa yang tidak menjalani Adat-Istiadat Perlimau Tapak Silat Seni Gayong, ia tidak boleh diiktirafkan sebagai murid Gayong dan sama-sekali tidak sah mengaku dirinya ahli Gayong" - ALLAHYARHAM DATO' MEOR A. RAHMAN

Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat. Jadi setiap orang yang menjadi ahli harus pula menjalani upacara mandi perlimau adat sebagai memenuhi syarat penerimaan sebagai murid Gayong. Di samping itu setiap bakal murid yang akan menjalani upacara mandi adat ini perlu menyediakan pengeras yang berupa wang tunai. Walaupun pengeras ini adalah hak Mahaguru / warisnya sebagai satu ikrar halal-menghalal di antara Mahaguru dangan muridnya, namun ia tidak diberatkan kepada mereka yang tidak mampu.

Istiadat yang perlu ditempuh oleh seseorang itu sebelum diterima sebagai murid Gayong ialah Perlimauan Tapak bagi ahli lelaki dan Perlimauan Seni bagi ahli wanita. Upacara ini merupakan majlis akad penerimaan sebagai murid Gayong

Peringkat Perlimau Sintuk Seni merupakan peringkat penuntutan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Pelatih akan memperoleh perbezaan dalam penuntutan ilmu (dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setinggi mana yang mampu, termasuklah bermain apa jua senjata -( tertakluk kepada syarat-syarat tertentu), kedudukan, dan mulai memegang tanggungjawab dalam melatih dan mengembangkan Gayong.

Pada peringkat Perlimau Sintuk Tapak, pelatih hanya dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setakat pelajaran Tapak Gayong sahaja.

Antara bahan-bahan asas sebagai simbolik bagi upacara ini ialah:

-Sebiji limau nipis (Peralatan mandi orang dahulu)
-Akar sintok (Peralatan mandi orang dahulu)
-Asam jawa & garam (Semua kepayahan akan disudahi pengalaman yang manis)
-Sesisir pisang (Sebagai hidangan untuk tetamu)
-Bunga 7 warna (mandi seni sahaja ,mengharumkan badan dan unsur sesuatu yang seni)
-Air Gayong (Air yang telah didoa untuk memohon keberkatan dan sebagai penerang hati bagi murid yang ingin menuntut ilmu Gayong dan segala ilmu Allah)

Setelah selesai upacara mandi atau Perlimauan Tapak, maka rasmilah seseorang itu sebagai murid Silat Seni Gayong. Dengan itu, murid tersebut layak mempelajari ilmu Tapak Gayong. Apabila murid tersebut menjalani Istiadat Mandi Seni pula, beliau dengan sendirinya boleh mempelajari semua ilmu yang ada dalam Silat Seni Gayong beserta syarat-syarat tertentu.

Dalam kedua-dua upacara di atas, ahli-ahli dikehendaki bersih daripada hadas kecil dan hadas besar serta mestilah dalam keadaan berwudhu.

Adat Gelanggang

Latihan dimulakan dengan adat membuka gelanggang dan diakhiri adat penutupan gelanggang. Upacara ini disempurnakan dengan membaca ayat-ayat berikut:

1.Surah Al-Fatihah (1 kali)

2.Surah Al-Ikhlas (11 kali)

3.Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W (3 kali)

4.Berdoa semoga dijauhkan segala bahaya dan niat khianat iblis, jin, manusia dan binatang serta memohon diberkati pelajaran yang dituntut. - semasa membuka gelanggang.



5.Doa kesyukuran kerana latihan ditamatkan dengan baik daripada mula hingga akhir dan semoga mendapat keredhaan serta rahmat Allah s.w.t.



6.Jika ada berkat doa dan bacaan-bacaan yang dibacakan, ianya dihadiahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., sekelian Rasulullah, nabi-nabi, wali-wali, al-marhum Dato' Mahaguru serta zuriatnya, kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat murid Gayong serta seluruh murid dan ahli Gayong yang telah meninggal dunia baru atau lama.

Jika sekiranya hari latihan jatuh pada malam atau hari Jumaat, jumlah bacaan Al-Fatihah akan ditambah menjadi 7 kali, Al-Ikhlas sebanyak 33 kali dan Selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w. sebanyak 11 kali.



Adab Dalam Gelanggang

Antara perkara yang mesti dipatuhi murid semasa berada di dalam gelanggang:



1.Tidak meludah.


2.Tidak memakai alas kaki.


3.Tidak bergurau senda


4.Meminta izin daripada Imam Gelanggang jika ingin keluar daripada gelanggang atau ingin bertemu seseorang di luar gelanggang.


5.Menghormati rakan-rakan dalam latihan.


6.Tidak makan atau minum.



Bengkung, tengkolok dan sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok semasa menikmati juadah atau makanan.

Dato' Laksamana Hang Tuah pernah bersahut

"Takkan Melayu Hilang Di Dunia!"

  © Blogger template 'The Base' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP