Wednesday, November 4, 2009

Pantun Perguruan Silat Seni Gayong

Pesanan Mahaguru Gayong

Jangan ditepuk susu di dulang,
Anak harimau tak dapat menyusu,
Janganlah pecah rahsia hulubalang,
Nanti harimau hilang kuku.

Jikalau ada dulang di tangan,
Jangan biar jatuh terhempas,
Jikalau ada senjata di tangan,
Jangan biar orang rampas.

Pecah gayong di dalam dulang,
Dulang hanyut di lautan tujuh,
Pecah Gayong perpecahan sayang,
Di satu masa balik berpadu teguh.

Biduk berlalu kiambang bertaut,
Kata bersahut Gayong menyambut.

Pantun Seruan Khas Kepada Muda-mudi

Acap-acap di tepi laut,
Buaya ganas melintang kuala,
Sebelum ajal berpantang maut,
Takkan Melayu hilang di dunia.

Anak Cina bermain gasing,
Mari bermain di kota raja,
Bangsa Melayu tidak terpusing,
Kerana setia kepada negara.

Tanah Melaka tanah pusaka,
empat lahir panglima negara,
Wahai pemudi juga pemuda,
Bangunlah kamu mempertahankan negara.

Tanah Melaka tanah purba,
Tempat berbagai aneka sejarah,
Kalau kata sudah dikota,
Pantang Melayu menyerah kalah.

Pantun Rahsia Perguruan Gayong

Anakku Anak Ibumu

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki;
Berguru kepalang ajar,
Alamat binasa badan sendiri.

Mendaki gunung meredah lurah,
Mencari ramuan pengubat hati;
Ilmu GAYONG bukannya mudah,
Seni turunan wali kesakti.

Mencari ramuan pengubat hati,
Beranyut ke hilir panduan resemi;
Seni turunan wali kesakti,
Menjaga air mengawal bumi.

Beranyut ke hilir panduan resemi,
Lenggang bertapak seni memandang;
Menjaga air mengawal bumi,
Tegap menapak teguh menjulang.

Lenggang bertapak seni memandang,
Memohon tahjud menadah sentiasa;
Tegap menapak teguh menjulang,
Hanya sujud ke hadrat yang Esa.

Dato' Laksamana Hang Tuah pernah bersahut

"Takkan Melayu Hilang Di Dunia!"

  © Blogger template 'The Base' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP