Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

Friday, July 31, 2009

Logo & Warna Rasmi



Disebalik Lambang Pertubuhan


Lambang Gayong

Lambang yang menjadi lencana atau yang terpapar pada sijil Silat Seni Gayong mempunyai makna dan pengertiannya secara ringkas ialah:

Bulan dan Bintang
Melambangkan agama islam dan syiarnya berada dipuncak dunia. Silat Seni Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi penyuluh hidup.

Bumi
Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong akan dikembangkan ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.

Bejana Air
Simbolik kepada universality ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negara telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak putus. ia juga melambangkan kesatuan hati dan amal kerana muafakat. Bak kata pepatah Melayu, "Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana sepakat". Murid Gayong mestilah berpadu demi menegakkan hak.

Harimau
Melambangkan keberanian dan kepahlawanan didarat. Ia menonjolkan identiti atau corak salah satu pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala masa tertentu sahaja ia akan menzahirkan ketajaman dari kekuatan cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.

Keris Bersilang
Simbolik kepada semangat Laksamana Melayu Terbilang Dato' Hang Tuah dan Dato' Hang Jebat, dua orang pahlawan Melayu yang masyhur lagi gagah berani. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid-murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah seni warisan bangsa yang asli dan tulen.

Naga
Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna didarat bahkan juga di dalam air. Logo naga ini sebagaimana dipercayai telah dianugerahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato' Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dulu. Di sebalik maksud diatas, naga juga melambangkan Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.

Pedang Bermata Dua
Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a yang terukir kalimah suci Al-Quran bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman jahililyyah dan keagungan Khilafah Islamiah.

Bengkong Pelangi Hitam Chula VII
Melambangkan bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara, bengkong peribadi milik Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Disebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat. Adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar halatuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewengkan.

Dato' Laksamana Hang Tuah pernah bersahut

"Takkan Melayu Hilang Di Dunia!"

  © Blogger template 'The Base' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP